Perbezaan di antara Oftalmologis, Optometris dan Optisyen
“Tahap penglihatan seseorang itu adalah bergantung kepada mereka mendapatkan khidmat pegawai perubatan dan penglihatan mata yang betul pada masa yang tepat.”
Apabila seseorang itu menghadapi masalah dan perlu membuat pemeriksaan mata, seseorang itu perlu memastikan bahawa pegawai yang memeriksa mata mereka adalah pegawai mata yang profesional mengikut kepada keperluan keadaan mereka. Oftalmologis, optometris dan optisyen adalah merupakan pegawai pemeriksaan dan penjagaan mata yang mempunyai tugas-tugas yang berbeza mengikut kepentingan tertentu terhadap pesakit mata. Perbezaan ini adalah kerana, berdasarkan kepada tahap pencapaian bidang kepakaran dan latihan masing-masing. Berikut merupakan maklumat ringkas berkenaan tiga pegawai pemeriksaan dan penjagaan mata tersebut.
Oftalmologis
Oftalmologis adalah merupakan seorang doktor di dalam bidang kepakaran mata dan penjagaan penglihatan. Pegawai oftalmologis berbeza daripada pegawai optometris dan optisyen adalah kerana tahap latihan mereka yang tinggi dalam mengenal pasti penyakit dan memberi rawatan kepada mata. Sebagai seorang doktor perubatan yang telah menamatkan sekurang-kurangnya 8 tahun pengajian tinggi dan latihan dalam bidang perubatan, menjadikan mereka layak untuk mengamalkan perubatan dan pembedahan. Pegawai oftalmologis akan mengenal pasti segala jenis penyakit mata dan memberi rawatan, selain melakukan pembedahan pada mata dan memberi preskripsi cermin mata atau kanta sentuh. Ada juga di kalangan pegawai oftalmologis yang menyertai bidang penyelidikan bagi mengkaji sebab-sebab penyakit mata berlaku serta ubat-ubat yang mampu mengubati masalah mata dan penglihatan ini.
Sementara oftalmologis yang dilatih untuk memahirkan diri dengan segala masalah dan keadaan mata, ada sebahagian oftalmologis yang menyambung kepakaran perubatan atau pembedahan mereka dalam bahagian mata tertentu. Oftalmologis ini dikenali sebagai doktor mata dengan sub-kepakaran. Mereka kebiasaannya memerlukan tambahan satu ke dua tahun lagi latihan yang lebih mendalam dikenali sebagai ‘fellowship’ dalam salah satu daripada jurusan utama sub-kepakaran mata. Antara jurusan utama sub-kepakaran mata adalah seperti glaukoma, retina, kornea, kanak-kanak, saraf, bedah plastik dan lain-lain. Latihan tambahan serta pengetahuan yang lebih mendalam ini, dapat menyediakan oftalmologis tersebut untuk merawat masalah mata tertentu yang lebih kompleks atau jenis kumpulan pesakit dengan masalah mata tertentu dengan lebih mendalam.
Optometris
Optometris adalah merupakan pegawai sains kesihatan yang memberi khidmat penjagaan penglihatan mata bermula daripada ujian penglihatan mata dan pemulihannya kepada mengenal pasti masalah mata, merawat serta mengurus perubahan pada penglihatan mata pesakit. Namun begitu, pegawai optometris bukanlah seorang doktor. Pegawai optometris mendapat ijazah ‘Optomerist Doctor’ (OD) setelah menamatkan pembelajaran mereka selama empat tahun di universiti. Optometris diberi kebenaran untuk mengamalkan ilmu optometri, yang memerlukan fokus utama mereka pada pemeriksaan penglihatan mata, memberikan rawatan pemulihan penglihatan mata dengan menentukan jenis serta kuasa kanta yang sesuai pada kaca mata pesakit, mengenal pasti masalah tidak normal pada mata dan memberikan ubat pada masalah mata tertentu.
Optisyen
Optisyen adalah merupakan juruteknik mata yang terlatih dalam membentuk dan menentukan padanan kanta yang sesuai pada bingkai kaca mata, kanta sentuh dan juga jenis-jenis alat bantuan pemulihan penglihatan yang lain. Mereka akan menentukan kanta yang sesuai berdasarkan kepada preskripsi yang telah diberikan oleh pegawai oftalmologis atau optometris. Walau bagaimana pun, optisyen tidak berkelayakkan untuk memeriksa penglihatan mata dan menentukan jenis atau kuasa kanta pada mata pesakit. Optisyen juga tidak dibenarkan untuk mengenal pasti masalah mata atau merawat mata pesakit.
Peliharalah penglihatan mata anda. Berjumpalah dengan pegawai perubatan dan penglihatan mata yang betul pada masa yang tepat.
Tanpa kita sedari, kita telah bergantung pada penglihatan mata kita dalam banyak perkara. Tanpa penglihatan mata yang baik, kebolehan kita untuk bekerja, bermain, memandu dan juga mengenal rupa paras seseorang akan terganggu. Terdapat pelbagai faktor yang boleh menyebabkan penglihatan mata seseorang itu terjejas, antaranya adalah disebabkan oleh masalah kesihatan yang lain seperti tekanan darah tinggi dan juga kencing manis. Selain itu, risiko untuk menghadapi masalah mata juga tinggi jika seseorang itu mempunyai sejarah keluarga dengan masalah kesihatan mata.
Oleh itu, adalah sangat penting bagi seseorang itu untuk berjumpa dengan pegawai oftalmologis bagi menjalani pemeriksaan mata yang lengkap pada usia 40 tahun. Kemudian, setelah perjumpaan pertama, seseorang itu perlu untuk berjumpa semula dengan pegawai oftalmologis tersebut sekerap yang perlu seperti yang ditetapkan oleh pegawai oftalmologis tersebut.
Berikut merupakan sebahagian daripada tanda dan risiko kepada masalah penglihatan mata. Jika seseorang itu mendapati satu daripada tanda tersebut, maka seseorang itu perlu berjumpa dengan pegawai oftalmologis. Pemeriksaan mata yang lengkap oleh pegawai oftalmologis adalah langkah pertama dalam menyelamatkan penglihatan mata anda.
- Sebelah mata atau kedua belah mata tersembul
- Terdapat kain langsir atau layar yang menghadang penglihatan
- Penglihatan kurang jelas walau sementara
- Kencing manis
- Sesuatu objek kelihatan tidak sekata
- Satu objek kelihatan dua
- Mata berair yang berlebihan
- Kelopak mata yang tidak normal
- Sejarah keluarga dengan masalah mata
- Terdapat gelung cahaya dalam penglihatan
- Tekanan darah tinggi
- HIV atau AIDS
- Cedera pada mata
- Hilang medan periferal (luar) penglihatan
- Kedudukan kedua belah mata yang tidak selari
- Terdapat habuk atau sesuatu benda bergerak dan/atau cahaya berkelip dalam mata
- Sakit pada bahagian mata
- Penyakit tiroid berkaitan dengan mata (“Graves Disease”)
- Mata merah yang tidak biasa
Ulasan
Catat Ulasan